WHO: pakai penutup mulut, hidung di tempat awam

GENEVA, 7 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengubah nasihatnya mengenai pemakaian penutup mulut dan hidung di tengah pandemik koronavirus, berkata bahawa ia harus dipakai di tempat-tempat di mana virus tersebar meluas dan penjarakan sosial sukar diamalkan.

Penggunaan penutup mulut dan hidung telah menjadi topik hangat sejak pandemik pertama muncul di China pada Disember.

“Berdasarkan bukti yang berkembang, WHO menasihatkan agar kerajaan harus menggalak orang awam supaya memakai penutup mulut dan hidung di mana terdapatnya jangkitan meluas dan penjarakan sosial adalah sukar,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Di kawasan dengan penularan virus peringkat komuniti, “kami menasihatkan orang berusia 60 tahun ke atas, atau mereka dengan masalah kesihatan, harus memakai topeng perubatan dalam situasi di mana penjarakan sosial sukar dilakukan,” tambah beliau.

Namun agensi kesihatan PBB menekankan bahawa penutup mulut dan hidung sahaja ‘tidak akan melindungi anda daripada COVID-19’ dan orang yang dijangkiti virus itu tidak harus keluar di khalayak ramai jika mereka boleh mengelaknya.

WHO mengekalkan saranannya bahawa orang yang mempunyai simptom COVID-19 harus tinggal di rumah dan jika mereka atau kontak mereka perlu keluar rumah, mereka harus memakai penutup mulut dan hidung. – AFP