WHO: Penutupan sempadan bukan strategi mampan

GENEVA, 27 JULAI – Menutup sempadan untuk mengekang penularan COVID-19 bukan strategi mampan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, menggesa negara-negara supaya menggunakan strategi komprehensif berdasarkan pengetahuan tempatan di mana virus sedang merebak.

Penutupan sempadan dan sekatan perjalanan masih membentuk strategi penting di kebanyakan negara untuk memerangi koronavirus.

Pada masa yang sama, kes yang meningkat di negara Eropah dan tempat lain yang telah melonggarkan sekatan selepas berjaya mengawal wabak mereka telah mendorong perbincangan mengenai kemungkinan menutup semula sempadan.

Namun badan kesihatan PBB mengingatkan langkah sedemikian tidak boleh dikekalkan untuk tempoh yang tidak pasti, dan juga ia hanya berkesan apabila digabungkan dengan pelbagai langkah lain untuk mengesan dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Meneruskan penutupan sempadan bukan strategi yang mampan untuk ekonomi dunia, untuk negara miskin atau untuk sesiapa,” beritahu Michael Ryan, pengarah kecemasan WHO, kepada wartawan dalam taklimat maya.

“Adalah agak mustahil untuk negara individu untuk menutup sempadan mereka secara berterusan,” kata beliau, menambah ekonomi perlu dibuka, orang perlu bekerja dan perniagaan perlu diteruskan.

Beliau mengakui apabila ia membabitkan COVID-19, adalah mustahil untuk ‘melaksanakan satu dasar untuk semua’ kerana wabak berkembang secara berlainan di negara berlainan.

Sementara negara dengan penularan komuniti meluas mungkin memerlukan penggunaan sekatan ketat untuk mengawal situasi, yang lainnya harus mengkaji dan mengetahui bagaimana virus merebak pada peringkat tempatan. – AFP