WHO: perincian virus akan didedah kepada umum

BEIJING, 14 JAN – Sekumpulan saintis antarabangsa terdiri daripada pakar 10 buah negara dan institut tiba di China untuk bersama-sama pakar tempatan bagi menjalankan kajian saintifik mengenai asal usul COVID-19 bermula hari ini, meskipun dua anggota kumpulan dilarang daripada menaiki pesawat di Singapura selepas diuji positif bagi antibodi virus itu.

Kumpulan pakar itu mendarat di China dalam misi yang lama tertangguh, dialu-alukan oleh pegawai China dalam sut hazmat dan calitan saringan virus dijalankan sejurus tiba kemudian dibawa ke sebuah hotel di mana mereka perlu melengkapkan pengasingan diri mandatori dua minggu sebelum memulakan kerja-kerja mereka.

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Margaret Harris ketika diwawancara wartawan CGTN telah memberikan butiran terperinci mengenai kandungan dan skala kajian yang akan dijalankan pasukan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akan mendalami kajian tentang kes COVID-19 yang terawal ditemui di Wuhan dan pelbagai spesies haiwan yang mungkin terlibat wabak sambil menggunakan kaedah penyelidikan seperti serum darah makmal dan antibodi.

Katanya, kajian secara teliti oleh pasukan kali ini memerlukan masa lebih panjang selain itu saintis akan  berkongsi hasil keputusan serta  data, melaksanakan sumbang saran, dan mengemukakan beberapa hipotesis penyelidikan.

Tambah beliau, lawatan ke China ini  tidak mempunyai kaitan dengan politik, sama seperti yang dimaklumkan Ketua Pengarah WHO sebelum ini.

Virus pertama kali dikesan di bandar Wuhan pada hujung 2019 dan semenjak itu menular ke seluruh dunia, membunuh hampir dua juta orang setakat ini dan menjangkiti berjuta-juta lagi yang lain serta melumpuhkan ekonomi global. – Bernama/AFP

Kumpulan pakar WHO disambut oleh petugas dalam sut hazmat di lapangan terbang di Wuhan, 14 Januari. Pakar WHO akan menjalankan siasatan di pusat bandar pandemik itu pertama kali dikesan dengan perinciannya dijangka akan didedahkan kepada umum. – AP