WHO puji Malaysia dalam urus pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR, 15 OKT – Keupayaan besar Malaysia dalam kesiapsiagaan dan tindak balas mendepani wabak membantu mewujudkan asas yang stabil bagi tindak balas terhadap pandemik COVID-19 setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wakil WHO di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo berkata infrastruktur dan tenaga kerja terlatih untuk menawarkan jagaan kesihatan berkualiti tinggi yang dimiliki negara ini turut menyumbang kepada perkara itu.

Dalam ruangan komentar laman sesawang WHO bertajuk ‘Sebuah negara bersatu mendepani pandemik’, beliau berkata pada tahun-tahun sebelum pandemik, kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah untuk memperkukuh jaminan kesihatan Malaysia serta keupayaan tindak balas pelbagai sektor bagi kecemasan kesihatan dan kesediaan menghadapi bencana.

“Langkah-langkah ini termasuk persiapan dan penyertaan dalam Penilaian Luaran Bersama mengenai keupayaan teras Peraturan Kesihatan Antarabangsa dengan WHO pada penghujung 2019 bagi membantu mengenal pasti jurang paling kritikal di antara sistem kesihatan manusia dan haiwan serta pembendungan bahaya alam sekitar

“Pengenalpastian jurang memboleh-kan penyusunan keutamaan keperluan dan peluang bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas. Kesemua komponen ini memainkan peranan penting dalam tindak balas awal Malaysia terhadap pandemik,” katanya.

Dr Lo berkata pada peringkat awal penularan wabak pada Februari 2020, Malaysia meningkatkan akses kepada pengujian berkualiti, jumlah katil bagi jagaan kritikal dan ventilator.

Perkhidmatan kesihatan dipertingkat dengan pantas bagi memenuhi permintaan baharu dan yang dijangka sambil pada masa sama kerajaan mengoperasikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di peringkat nasional dan negeri, serta menggerakkan pengambilan dan penghantaran petugas kesihatan berdasarkan kawasan yang mempunyai beban kerja yang tinggi.

Beliau berkata Malaysia juga mengambil langkah segera untuk mengekang penularan virus termasuk dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan serta beberapa fasa dan lelarannya yang berjaya mengurangkan bilangan kes COVID-19 kepada separuh pada April. – Bernama

Para petugas kesihatan memakai sut Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang lengkap ketika menjalankan tugas saringan COVID-19 dan Polymerase Chain Reaction (PCR) di pintu masuk Terminal Feri Antarabangsa Labuan, pada 14 Oktober. – Bernama