Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    WHO: Rawatan Ebola berjaya kurangkan kadar kematian

    GENEVA, 19 OGOS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata bahawa dua rawatan sedia ada secara mendadak mampu mengurangkan kematian akibat Ebola dan harus diberikan kepada semua peringkat umur yang menghidap penyakit hemoragik yang sering membawa maut itu.

    WHO menerbitkan garis panduan pertamanya tentang rawatan untuk digunakan terhadap Ebola. Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu menyarankan penggunaan dua antibodi monoklonal, iaitu mAb114, yang lebih dikenali sebagai Ansuvimab atau Ebangsa, dan REGN-EB3, atau Inmazeb.

    Kajian telah menunjukkan bahawa kedua-dua rawatan itu dengan ketara “mengurangkan kematian,” kata ketua unit pengurusan klinikal dalam program Kecemasan Kesihatan WHO, Janet Diaz.

    Bergantung pada standard penjagaan, dia berkata rawatan tersebut boleh menyelamatkan antara 230 dan 400 nyawa bagi setiap 1,000 orang yang dijangkiti.

    Dalam garis panduannya, WHO menyarankan agar tidak menggunakan rawatan lain yang telah diuji untuk Ebola, termasuk antibodi monoklonal ZMapp dan remdesivir ubat antivirus.

    WHO berkata mAb114 dan REGN-EB3 harus diberikan dengan kadar segera kepada sesiapa yang dijangkiti virus itu.

    Dalam satu kenyataan, agensi kesihatan itu berkata bahawa kedua-duanya telah “menunjukkan keberhasilan yang jelas” dan boleh digunakan untuk semua orang yang dijangkiti Ebola, termasuk orang tua, wanita hamil dan menyusu, kanak-kanak dan anak damit baru lahir. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...