WHO sambung mesyuarat berhubung wabak koronavirus

GENEVA, 23 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyambung mesyuarat tergemparnya sehingga hari ini dalam menentukan sama ada wabak koronavirus baharu di China boleh dianggap darurat kesihatan global seperti yang terkandung dalam Amaran Darurat Kesihatan Antarabangsa (PHEIC), lapor agensi berita Xinhua.

“Perbincangan berjalan dengan baik semasa mesyuarat hari ini, kami memerlukan lebih banyak maklumat,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar selepas mesyuarat tertutup Jawatankuasa Darurat.

“Atas sebab itu, saya telah meminta Jawatankuasa Darurat bertemu lagi esok untuk menyambung perbincangan,” tambah Tedros.

“Keputusan mengenai sama ada mengisytiharkan darurat kesihatan global atau tidak, kebimbangan antarabangsa merupakan satu perkara yang saya pandang serius, dan bersedia membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan semua bukti yang ada,” ujar beliau. – Bernama