GENEVA, 7 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menyokong vaksin malaria RTS, S/AS01, vaksin pertama menentang penyakit bawaan nyamuk yang membunuh lebih 400,000 orang dalam setahun, terutama kanak-kanak di Afrika.
Keputusan itu menyusuli kajian semula program perintis yang diterapkan sejak tahun 2019 di Ghana, Kenya dan Malawi di mana lebih daripada dua juta dos vaksin diberikan, yang pertama kali dibuat di syarikat farmasi GSK pada tahun 1987.
Setelah meneliti bukti daripada negara-negara tersebut, WHO mengatakan mereka “mengesyorkan penggunaan vaksin malaria pertama di dunia,” menurut ketua pengarah agensi, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
WHO mengatakan mereka mengesyorkan kanak-kanak di Afrika sub-Sahara dan di wilayah lain dengan penularan malaria sederhana hingga tinggi untuk mendapatkan empat dos hingga usia dua tahun.
Lebih daripada separuh kematian malaria di seluruh dunia berlaku di enam negara Afrika sub-Sahara dan hampir satu per empat di Nigeria, menurut statistik WHO tahun 2019.
Gejala penyakit termasuk demam, sakit kepala dan sakit otot, kemudian kitaran menggigil, demam dan berpeluh.
Menurut penemuan pengelola vaksin menunjukkan “secara signifikan mengurangkan kesan malaria yang boleh meragut nyawa sebanyak 30 peratus,” kata Kate O’Brien, Pengarah Jabatan Imunisasi, Vaksin dan Biologi.
Banyak vaksin telah diciptakan untuk menentang virus dan bakteria tetapi ini merupakan kali pertama WHO mengesyorkan penggunaan vaksin secara meluas terhadap parasit manusia.
Vaksin tersebut bertindak menentang plasmodium falciparum – satu daripada lima parasit spesies malaria dan yang paling berbahaya.
“Dari perspektif saintifik, ini merupakan penemuan yang besar,” kata Pedro Alonso, Pengarah Program Malaria Global WHO. – AFP