WHO: Tiada bukti jangkitan menerusi makanan

GENEVA, 14 OGOS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam meminta orang awam supaya tidak bimbang mendapat jangkitan COVID-19 daripada makanan selepas China menemui kesan virus itu pada produk makanan.

Pengarah Kecemasannya, Michael Ryan, berkata ini kerana tiada contoh penyakit pernafasan disebarkan melalui makanan yang dikesan sebelum ini dan orang ramai tidak perlu panik mengenainya.

“Orang ramai sudah cukup takut dan gentar dengan pandemik COVID-19. Justeru, mereka tidak perlu rasa perkara yang sama terhadap makanan, pembungkusan dan penghantaran makanan atau makanan yang diproses.

“Tiada bukti makanan atau rantaian makanan terbabit dalam jangkitan virus berkenaan. Makanan itu daripada perspektif COVID-19 adalah selamat,“ katanya melalui sidang media secara maya di Geneva.

Selasa lalu, COVID-19 ditemui di sampel kepak ayam sejuk beku yang diimport dari Brazil ke Shenzhen, China ketika rutin pemeriksaan dibuat terhadap sampel produk itu, menurut pihak berkuasa bandar itu. – AFP