WHO: Vaksin ‘nasionalisme’ tak mampu lawan virus

GENEVA, 7 OGOS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran terhadap ‘vaksin nasionalisme’, menyifatkan negara kaya memonopoli vaksin tidak akan menjadi tempat perlindungan COVID-19 yang selamat, jika negara miskin terus terdedah dengan virus itu.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata adalah penting bagi negara kaya untuk memastikan vaksin COVID-19 yang akan dihasilkan dikongsi dengan seluruh dunia.

“Vaksin nasionalisme tidak bagus, ia tak membantu kita semua. Jika mahu seluruh dunia pulih dengan pantas, kita perlu sembuh bersama-sama kerana ekonomi saling bergantung. Sebahagian atau beberapa negara tidak boleh menjadi tempat selamat dan pulih.

“Kemusnahan daripada COVID-19 boleh dikurangkan apabila negara mempunyai dana melakukan ini. Mereka tidak melakukan kerja amal untuk pihak lain kerana apabila seluruh dunia sembuh dan dibuka semula, ia akan memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Keselamatan Aspen di Amerika Syarikat (AS), menerusi sidang video dari Ibu Pejabat WHO di Geneva.

Katanya, kewujudan penyakit pernafasan yang membunuh di mana-mana itu membahayakan nyawa dan kehidupan seluruh dunia dengan beberapa jenis vaksin dilihat diperlukan untuk melawan COVID-19.

Sebanyak 26 calon vaksin kini berada di pelbagai peringkat ujian terhadap manusia, dengan enam daripadanya sudah mencapai Tahap 3 yang lebih luas.

“Tahap 3 tidak bermakna ia sudah hampir disediakan, sebaliknya pertama kali diuji terhadap populasi umum, individu sihat, untuk mengenal pasti adakah vaksin ini akan melindungi daripada jangkitan semula jadi.” – AFP