Wickremesinghe perdana menteri Sri Lanka

COLOMBO, 16 Dis – Presiden Sri Lanka hari ini melantik semula perdana menteri yang sama yang telah dipecatnya hampir dua bulan lalu, dalam mengakhiri perebutan kuasa yang melumpuhkan negara pulau itu.

Ranil Wickremesinghe, yang disingkirkan secara mengejut pada lewat Oktober lalu telah menyeret Sri Lanka ke dalam krisis perlembagaan, mengangkat sumpah dalam upacara tertutup di pejabat presiden di Colombo.

Wickremesinghe, 69 tahun enggan meletak jawatan sejak disingkirkan dan diganti oleh Mahinda Rajapakse yang berkontroversi, menyebabkan negara tersebut dengan dua pemimpin yang bertelagah dan kerajaan yang tidak berfungsi.

Perdana menteri yang disingkirkan itu telah lama menegaskan penyingkirannya sebagai tidak sah, satu pandangan yang disokong oleh parlimen Sri Lanka yang telah enam kali mengundi menentang dakwaan Rajapakse untuk memimpin ketika beberapa sesi kekacauan bertukar menjadi perkelahian.

Presiden Maithripala Sirisena enggan akur kepada tekanan ketika negara dalam keadaan terkatung-katung, dengan mengisytiharkan beliau tidak akan melantik semula Wickremsinghe dan mengejeknya yang pernah menjadi sekutunya dalam ucapan terbuka ketika pakatan mereka berkecai.

Rasa sakit hati antara kedua-duanya ditekankan hari ini apabila Sirisena menegah para wartawan daripada menghadiri upacara angkat sumpah yang membuatkan para ahli undangan Wickremesinghe mengumumkan pelantikannya.

“Kami berterima kasih kepada rakyat yang telah menentang rampasan kuasa secara haram dan memastikan demokrasi dipulihkan,” kata parti beliau, Parti Kebangsaan Bersatu Sri Lanka di Twitter.

Sekeping gambar yang memperlihatkan seteru-seteru itu tersenyum dan menundukkan kepala antara satu sama lain tersebar luas di media sosial dan mercun dimainkan beberapa bahagian negara bagi meraikannya.

Seorang jurucakap Wickremesinghe berkata beliau dijangka akan membentuk kabinet dalam tempoh beberapa hari dengan keutamaan diberikan kepada belanjawan 2019 yang tanpanya Sri Lanka berisiko lumpuh dan gagal dalam membayar hutang asing yang agak banyak. – AFP

Ranil Wickremesinghe ketika berucap di hadapan para penyokongnya di kediaman rasmi perdana menteri di Colombo, kelmarin. – AFP