WiFi TelBru percuma 15 Julai ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Peserta Perayaan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 akan berpeluang menggunakan sambungan WiFi Telekom Brunei Berhad (TelBru) secara percuma pada 15 Julai ini.

Perkhidmatan sambungan dinamakan ‘telbruwifi@harikeputeraan’, yang disediakan sebagai sebahagian daripada sumbangan syarikat untuk memeriahkan sambutan berkenaan, akan boleh diakses sebaik sahaja ketibaan tarikh 15 Julai dan tersedia dalam tempoh 24 jam di sekitar Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru di sini, hari ini, kemudahan berkenaan akan membolehkan akses percuma selama tiga jam bagi setiap peranti dengan kapasiti untuk menghubungkan 6,000 peranti pada satu-satu masa.

Kenyataan menyatakan, inisiatif berkenaan yang bermatlamat untuk memudahkan perkongsian saat-saat penting dalam sejarah negara merupakan sebahagian daripada satu siri bagi memperingati acara-acara kebangsaan sepanjang tahun seiring dengan peristiwa penting memfokuskan ibu negara.

Bagi kemas kini, orang ramai boleh mengikuti platform-platform media sosial syarikat berkenaan.