Wijaya FC mulakan tirai BSL dengan bergaya

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Penantian buat semua penggemar sukan bola sepak di negara ini kini berakhir apabila Liga Super Brunei (BSL) 2021 membuka tirainya hari ini setelah lebih setahun terpaksa digantungkan disebabkan penularan wabak COVID-19.

Antara perlawanan yang mencuri perhatian pada petang tadi ialah perlawanan antara Bakes FC dan Wijaya FC yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas.

Pada perlawanan tersebut Wijaya FC membawa pulang tiga mata penuh setelah berjaya menewaskan Bakes FC dengan keputusan akhir 4-3.

Pada separuh masa pertama, perlawanan didominasi oleh Wijaya FC yang kerap mengatur serangan mengasak kubu pertahanan lawan. Hasil asakan tersebut akhirnya membuahkan hasil selepas pemain jersi nombor 10 Wijaya FC, Awang Marhazif berjaya menjaringkan gol sulung pasukan pada minit ke-39.

Tersentak dengan jaringan tersebut pasukan Bakes FC cuba untuk menyamakan kedudukan dengan membuat beberapa serangan susulan namun gagal membuat penyudah dengan baik.

Aksi pertemuan antara Wijaya FC dan Bakes FC dalam perlawanan pertama BSL 2021 di Kompleks Sukan Berakas.

Sebelum pengadil meniupkan wisel penamat separuh masa pertama perlawanan, Abdul Hanan menggandakan jaringan menjadi 2-0 setelah tendangannya berjaya membolosi penjaga gawang Bakes FC.

Perlawanan di separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bersemangat untuk memastikan kutipan tiga mata penuh berharga menjadi milik mereka. Pada minit ke-47, Bakes FC berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Abdul Rahim Abdullah.

Selang dua minit selepas jaringan tersebut, pemain jersi nombor 8 Wijaya FC, Brianmengukuhkan kedudukan pasukan dengan menjaringkan gol ketiga.

Bagaimanapun kurang empat minit setelah gol berkenaan,Bakes FC kembali merapati kedudukan apabila Awang Saufi Salleh berjaya menyudahkan hantaran bola ke dalam kubu pasukan Wijaya FC sekali gus menjadikan keputusan 3-2.

Kedua-dua pasukan dilihat tidak takut untuk menyerang dan pada minit ke-68, Brian sekali lagi mencipta nama selaku penjaring dan menjarakkan jurang perbezaan jaringan kepada 4-2.

Pada masa tambahan, Bakes FC berjaya menyumbat gol ketiga, namun jaringan tersebut tidak mencukupi buat pasukan dan terpaksa pulang berputih mata menyaksikan pasukan Wijaya FC meraih tiga mata pertama dalam perlawanan pembukaan BSL 2021.

Dalam perlawanan seterusnya, Bakes FC akan bertemu pasukan DPMM FC pada 27 Jun bertempat di Padang Mini Jerudong, manakala Wijaya akan melayani BSRC FC di Kompleks Sukan Tutong.