Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    WikiLeaks ‘porno risikan’ – Ketua FBI

    WASHINGTON, 4 Mei – Ketua Biro Siasatan Persekutuan James Comey berkata semalam kumpulan anti-rahsia WikiLeaks tidak layak dalam bidang kewartawanan dan berkata aliran kebocoran rahsia AS adalah bersamaan dengan ‘porno risikan’.

    Dengan AS menyiasat peranan WikiLeaks dalam campur tangan Rusia dalam pilihan raya tahun lalu, Comey berkata beliau tidak percaya kumpulan itu atau pengasas Julian Assange wajar mendapatkan perlindungan wartawan AS dalam menerbitkan bahan-bahan sulit.

    “Ia melanggar batasan apabila berubah daripada berusaha mendidik orang awam dan sebaliknya menjadi porno risikan, hanya mengeluarkan maklumat tentang sumber dan kaedah tanpa mengambil kira nilai-nilai Pindaan Pertama yang biasanya menjadi dasar kepada laporan akhbar,” beritahu Comey kepada Jawatankuasa Badan Kehakiman Senat.

    Sebaliknya, dengan menerbit komunikasi Parti Demokratik yang dibocori, CIA menggodam rahsia dan bahan lain, WikiLeaks ‘menjadi satu saluran untuk perkhidmatan risikan Rusia atau musuh lain AS hanya mengeluarkan maklumat untuk merosakkan Amerika Syarikat’.

    “Kami semua setuju bahawa tidak ada apa-apa yang berbau ‘wartawan’ mengenai beberapa tingkah laku ini,” kata beliau.

    Peguam Negara AS Jeff Sessions berkata pada bulan lalu bahawa menahan Assange adalah satu keutamaan Jabatan Keadilan selepas beliau bersembunyi di kedutaan Ecuador di London sejak 2012 untuk mengelak daripada dihantar pulang ke Sweden, di mana beliau menghadapi dakwaan rogol yang dinafikan olehnya.

    Comey, yang enggan mengesahkan mana-mana siasatan tentang WikiLeaks, menolak dakwaan tersebut.

    “Pada pendapat saya, sebahagian besar aktiviti WikiLeaks tidak mempunyai kaitan dengan pengumpulan berita sah, menghubungi orang awam dan memberi komen mengenai kontroversi awam yang penting,” kata beliau.

    Sebaliknya, kumpulan itu ‘hanya mengenai pengeluaran maklumat sulit untuk merosakkan Amerika Syarikat’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda