KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pembentukan Wilayah Bangsamoro, sebuah wilayah autonomi dengan majoriti penduduk Islam di selatan Filipina, diyakini akan menyelesaikan konflik keganasan yang telah sekian lama menimpa umat Islam di situ.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembentukan wilayah berkenaan akan mewujudkan suasana aman sekaligus membolehkan umat Islam di selatan Filipina memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.
“Ia juga akan membuka jalan kepada pelaksanaan program ekonomi yang dirancang bawah Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-The Philippines – East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) di mana Malaysia antara negara terlibat dalam Wilayah Pertumbuhan ASEAN Timur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat BIMP-EAGA tahun ini dengan beliau akan mempengerusikan mesyuarat itu.
Katanya, umat Islam selatan Filipina telah memilih perdamaian, keamanan dan pembangunan, dan ia akan menjadi rangsangan kepada pelaksanaan program-program bawah BIMP-EAGA. – Bernama

































