Wilayah bulan sabit minyak diambil alih

TRIPOLI, 26 Jun – Komander Tentera Kebangsaan Libya (LNA), Khalifa Haftar, telah memutuskan untuk menyerahkan wilayah bulan sabit minyak kepada kerajaan interim yang berpangkalan di bahagian timur negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

“Tentera kami ditempatkan di wilayah bulan sabit minyak dan sedang berusaha untuk mengusir pasukan yang dipimpin oleh Jathran. Kami akan memburu sesiapa sahaja yang berpihak kepadanya.

“Pertempuran di (pelabuhan minyak) Brega dan Es Sidra bukanlah sesuatu yang lokal sebaliknya lebih bersifat antarabangsa,” kata jurucakap LNA, Ahmed Mismari, dalam sidang akhbar di timur bandaraya Benghazi kelmarin.

Sekumpulan pengganas yang dikenali sebagai Briged Pertahanan Benghazi (BDB), yang bersekutu dengan Ibrahim Jathran, seorang bekas ketua pengawal pemasangan minyak, baru-baru ini telah melancarkan satu serangan ke atas wilayah bulan sabit minyak dan bertempur dengan anggota LNA.

Ini memaksa Perbadanan Minyak Negara (NOC) Libya memindahkan semua pekerjanya dari kawasan itu dan mengisytiharkan bahawa serangan tersebut telah menyebabkan kerugian terhadap pengeluaran minyak sebanyak 240,000 tong sehari.

NOC turut memberi amaran bahawa bencana alam sekitar mungkin berlaku susulan kemusnahan tangki-tangki minyak.

Beberapa hari selepas serangan itu berlaku, LNA mengumumkan bahawa ia telah menewaskan BDB dan menawan semula wilayah bulan sabit minyak selepas satu pertempuran yang meragut nyawa 16 anggota tentera serta berpuluh-puluh pengganas. – Bernama