Wilayah Kashmir dikawal ketat

NEW DELHI, 18 April – Pengundi membuang undi di wilayah Kashmir bergolak ditadbir India hari ini, di mana pihak berkuasa mengerah puluhan ribu anggota keselamatan ketika pusingan kedua pilihan raya mega negara itu bermula.

Tentera, separa tentera dan polis membanjiri bandar utama rantau itu, Srinagar, satu daripada 95 kawasan di seluruh India yang mengambil bahagian dalam pilihan raya terkini.

Kashmir dimasukkan dalam kempen Perdana Menteri Narendra Modi selepas serangan bunuh diri Februari lalu yang mengorbankan 40 separa tentera, membawa India dan Pakistan yang mengawal sebahagian Kashmir terheret ke kancah peperangan.

Srinagar menjadi ‘bandar hantu’ pagi ini dan hanya dua pengundi muncul dalam dua jam pertama di sebuah sekolah digunakan untuk stesen mengundi, kata seorang koresponden AFP.

Lebih 24 anggota polis bersenjata memakai ves kalis peluru mengawasi stesen berkenaan.

“Saya berharap siapa sahaja yang dipilih kali ini dapat membantu anak saya mendapat pekerjaan,” kata seorang pengundi yang enggan dikenali.

Lebih 157 juta daripada 900 juta pengundi layak membuang undi untuk hari kedua daripada tujuh hari mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia.

Kawalan keselamatan turut dipertingkat di Bengal Barat, terkenal kerana keganasan politik di mana 15,000 tentera bertugas di tiga kawasan pengundian hari ini.

Di Chhatisgarh, pasukan keselamatan menyerbu sebuah kem hutan milik Mao di daerah Dantewada dan membunuh dua pemberontak didakwa terbabit dalam serangan sebuah konvoi pilihan raya sebelum pusingan pertama pengundian yang menyebabkan lima maut, kata polis. – AFP

Tentera Pertahanan Sempadan India (BSF) ketika menjaga keselamatan di kawasan stesen pengundian semasa fasa pilihan raya kedua di Kangan, kira-kira 35 km dari Srinagar, kelmarin. – AFP