Wild Cats muncul juara dalam BCIC2018

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Siri kedua Cabaran Pelaburan Baiduri Capital 2018 (BCIC2018) telah berakhir dengan majlis penyampaian hadiah di Baiduri Capital, hari ini.

Enam pasukan yang merangkumi peserta dari tiga buah institusi pengajian tinggi tempatan bertanding dalam cabaran berkenaan, iaitu STJ dan Quadrant dari Kolej Perdagangan Laksamana, Newbie Traders dan Dynamic dari Universiti Teknologi Brunei serta 1XChampion dan Wild Cats dari Sekolah Perniagaan, Politeknik Brunei.

Muncul juara dalam cabaran berkenaan adalah Pasukan Wild Cats yang mencatatkan keuntungan tertinggi.

Penyampaian trofi kepada pemenang dan sijil kepada kesemua pasukan telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon.

Menurut kenyataan dari Baiduri Capital, dalam cabaran itu, setiap pasukan diberikan modal $5,000 untuk membuat pelaburan dalam mana-mana sekuriti yang disenaraikan pada Bursa Saham Singapura, Bursa Saham Malaysia, Bursa Saham Hong Kong, China A-Shares atau Bursa Saham Amerika Syarikat.

Peng Eng Soon dipetik sebagai berkata, BCIC bermatlamat menanam kesedaran dan menjana minat dalam pelaburan kewangan dan pasaran kapital dengan membenarkan pelajar-pelajar terbabit menggunakan pengetahuan dan teori yang dipelajari di sekolah dalam persekitaran sebenar.

“Tatkala sektor perkhidmatan kewangan melalui transformasi digital, platform perdagangan dalam talian yang berorientasikan masa depan memperkasa pelabur-pelabur baharu ini dengan menyediakan laluan yang boleh mereka akses maklumat pasaran masa sebenar.

“Kemudian mereka boleh memodalkan maklumat berkenaan dan menjalankan perdagangan dari mana sahaja di dunia tanpa melalui pedagang,” tambahnya.

Kenyataan menyatakan, Baiduri Capital akan mengadakan siri ketiga BCIC pada Oktober depan.

Peng Eng Soon bergambar ramai bersama perancang kewangan kanan dan peniaga berlesen serta peserta BCIC2018.