Wilder diarah pertahan gelaran

LOS ANGELES, 7 Mac – Juara heavyweight, Deontay Wilder diarahkan untuk mempertahankan gelarannya menentang Dominic Brezeale berikutan kegagalan cadangan pertarungan semula bersama Tyson Fury, kata Majlis Tinju Dunia (WBC) semalam.

Kenyataan WBC berkata pencabar mandatori, Breazeale akan diberikan peluang bagi gelaran itu selepas persetujuan badan induk itu membatalkan arahan pertarungan semula Wilder dan Fury.

“Juara Dunia heavyweight WBC, Deontay Wilder akan memenuhi tanggungjawab mandatorinya menentang Dominci Breazeale seterusnya,” kata WBC.

Wilder dan Breazeale mempunyai masa sehingga 4 April depan untuk mencapai terma dan syarat persetujuan bagi pertarungan tersebut, tambah WBC. Sekiranya tidak ada persetujuan dicapai, WBC akan menahan bidaan bagi pertarungan itu.

ESPN melaporkan bahawa kem Wilder dan Breazeale berasa optimis untuk mencapai persetujuan itu, dengan tarikh 18 Mei bagi pertarungan itu diadakan di Barclays Center, New York.

“Kami berharap untuk mencapainya. Kami berharap, ia akan berlaku minggu ini atau minggu depan dan berharap ia selesai. Ketika ini, ia belum lagi dilaksanakan. Tetapi saya rasa (Breazeale) adalah seorang pesaing kompetitif dan boleh dipercayai,” kata pengurus bersama Wilder, Shelly Finkel kepada ESPN.

Wilder akan mempertahankan gelarannya buat kali sembilan menentang Breazeale, yang mencatatkan 20 kemenangan dan satu kekalahan, termasuk 18 knockout. Wilder dan Fury bertarung dengan keputusan berakhir seri di Los Angeles pada Disember lalu, yang menghidupkan semula minat dalam divisyen heavyweight.– AFP

Gambar fail bertarikh 1 Disember 2018 menunjukkan Wilder (kiri) dan Tyson saling berbalas-balas tumbukan semasa perlawanan kejuaraan tinju heavyweight WBC di Los Angeles. – AP