Wilder setuju tangguh pembayaran gaji

LONDON, 21 APRIL – Pengurus Sheffield United, Chris Wilder berkata kelmarin dia telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran gaji dan bonus untuk mengurangkan tekanan kewangan dari pandemik koronavirus.

Wilder menyertai ketua eksekutif Blades, Stephen Bettis dan ahli-ahli kejurulatihan utama dalam mengambil penangguhan gaji yang telah ditetapkan berlangsung selama enam bulan.

Tindakan ini akan membantu kelab Liga Perdana Inggeris itu untuk melunaskan pembayaran kakitangan lain secara penuh.

“Ia adalah masa yang sukar bagi semua orang dan ia termasuk kelab bolasepak dan langkah ini adalah untuk kelab bola sepak kami,” katanya.

“Saya pernah mengalami masalah kewangan di kelab lain dan saya gembira bahawa kakitangan saya menyokong saya dalam membantu kelab kami dalam langkah yang kecil.” Sheffield United kini berada di kedudukan ketujuh semasa perlawanan digantungkan kerana pandemik pada bulan Mac. Liga Utama kekal ditunda, mencetuskan kerisauan di semua peringkat akan mengalami masalah kewangan disebabkan oleh kejatuhan pendapatan.

Seperti kebanyakan pasukan Liga Perdana Inggeris, The Blades masih belum mencapai kata sepakat dengan pemain mereka sama ada mereka perlu menangguhkan atau memotong gaji mereka kerana perintah berkurung virus.

Liverpool, Tottenham dan Bournemouth telah menarik semula keputusan mereka untuk membenarkan kakitangan mereka untuk mengambil cuti yang telah menerima kritikan awam, sementara Newcastle dan Norwich masih merancang untuk menggunakan skim pengekalan pekerjaan kerajaan UK. – AFP

Chris Wilder bersetuju untuk menangguhkan pembayaran gaji dan bonus untuk mengurangkan tekanan kewangan kelab. – AP