Wildtrak lebih jimat bahan bakar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Premier Automobiles Sdn Bhd sebagai pengimport dan pengedar tunggal tempatan untuk kereta Ford di negara ini telah memperkenalkan model Ford Ranger baharu, The Wildtrak ke dalam pasaran kereta di negara ini.

Majlis pelancaran model baharu tersebut yang diadakan di bilik pameran syarikat berkenaan tampil dengan enjin 2.0L Bi-Turbo baharu iaitu enjin yang sama dipasang di Ranger Raptor.

Selain memiliki enjin berkekuatan tinggi, trak mini berkenaan juga tampil dengan penuh gaya dengan penjimatan bahan bakar, luas dan lebih premium berbanding dengan trak lain dalam pasaran.

Selain itu, ia juga mempunyai enjin empat silinder diesel 2.0 liter Bi-Turbo Ford dan transmisi automatik 10-kelajuan yang dibina khas untuk memberi prestasi dan kebolehpercayaan serta kecekapan yang diinginkan.

Bahan sentuhan lembut mengelilingi kabin, tempat duduk kulit dengan jahitan berwarna oren yang terang, roda kemudi yang dibalut dengan kulit dan tempat duduk yang boleh disesuaikan antara keistimewaan lain model tersebut.

Untuk mengetahui lebih lanjut, orang ramai boleh menyaksikan lebih dekat model baharu berkenaan di bilik pameran Premier Motors dan membuat uji pandu selain dapat menyaksikan demonstrasi secara langsung mengenai ciri-ciri yang terdapat dalam model tersebut seperti Parking Parallel Automatic.

Ford Ranger baharu, The Wildtrak dilengkapi dengan enjin berkuasa tinggi dan penggunaan bahan bakar yang lebih jimat.