Penganjur Anugerah Akademi (Oscar) ke-94, Akademi Seni Filem dan Sains mengambil tindakan tegas terhadap bintang terkemuka Hollywood, Will Smith dengan memutuskan larangan menyertai acara itu selama 10 tahun.
Larangan itu diputuskan, semalam ekoran insiden Smith menampar Chris Rock, sekali gus mengejutkan penonton di Dolby Theatre, Los Angeles dan seluruh dunia yang menyaksikan anugerah berprestij itu secara siaran langsung pada penghujung Mac lalu.
Memetik laporan portal BBC News, penganjur menerusi kenyataan berkata, acara menghargai karyawan seni itu dibayangi tindakan buruk dan tidak boleh diterima seperti Smith pamerkan atas pentas.
“Larangan dilakukan terhadapnya bagi bertujuan melindungi karyawan seni dan tetamu agar terus meletakkan kepercayaan kepada Anugerah Akademi.
“Selama insiden pergeseran antara mereka terjadi, kami tidak cukup menangani situasi tidak terduga ini. Kami tidak bersedia untuk isu yang belum pernah terjadi sebelumnya. Untuk ini, kami minta maaf.
“Terima kasih kepada Rock kerana menangani situasi terjadi dengan profesional,” kata kenyataan berkenaan.
Terdahulu, Smith meletak jawatan daripada Anugerah Akademi kerana menyesali dan menyedari kekhilafan pada 1 April lalu, lapor agensi berita Anadolu.
“Saya sepenuhnya akan menerima sebarang dan semua akibat susulan kelakuan. Tindakan saya semasa penyampaian Anugerah Akademi Ke-94 mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan,” kata Smith dalam satu kenyataan.
Keputusan muktamad sepatutnya diputuskan penganjur yang dijadualkan pada 18 April ini. Namun, ia dipercepatkan selepas Smith mengambil keputusan meletakkan jawatan.
Sebelum ini, dua produksi filem membabitkan Smith, Netflix dan Sony mengambil keputusan menghentikan sementara projek mereka – Agensi