Aktor Hollywood, Will Smith yang menggemparkan peminat apabila melempang Chris Rock di pentas Oscar yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia, Mac lalu, sekali lagi memohon maaf kepada pelakon dan pelawak itu atas perlakuannya.
Smith menyatakan permohonan maaf itu melalui video diberi judul ‘It’s been a minute’ yang dimuat naik di saluran YouTube rasminya, yang sudah meraih lebih dua juta tontonan.
Dalam video sepanjang 5:44 minit itu, antara lain Smith mendakwa cuba menghubungi Rock selepas insiden itu, bagaimanapun sehingga kini mereka belum dapat bertemu.
“Saya ada berusaha hubungi Rock. Namun, mesej dan maklum balas yang diterima menyatakan Rock belum bersedia untuk bercakap dengan saya. Bagaimanapun, Rock akan hubungi apabila beliau bersedia nanti.
“Justeru, saya memohon maaf kepada kamu, kelakuan saya amat tidak boleh diterima. Saya sudah bersedia untuk bercakap dengan kamu pada bila-bila masa,” katanya melalui video permohonan maaf itu.
Kali pertama, Smith memohon maaf secara terbuka kepada Rock adalah menerusi hantaran di Instagram (IG) pada 29 Mac lalu.
Pada 28 Mac lalu, tindakan Smith melempang Rock di pentas Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, mengejutkan penonton di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung anugerah berprestij itu.
Insiden berlaku ketika Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan isteri Smith, Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.
“Saya umpama tidak sedar dan tidak berfikir panjang hingga menyakiti hati ramai orang.
“Jadi, saya memohon maaf kepada ibu dan seluruh keluarga Rock terutama kepada Tony Rock (abang Rock),” katanya. – Agensi
