Will Smith muat naik video Sofyank

Kreativiti personaliti media sosial, Mohamad Sofian Abdullah atau Sofyank menarik perhatian pelakon antarabangsa, Will Smith apabila video yang disunting olehnya dimuat naik semula (repost) oleh aktor berkenaan di laman Instagram.

Tindakan Will memuat naik semula video yang disunting oleh Sofian itu di akaun Instagram miliknya menerima pelbagai reaksi pengikut. Rata-rata pengikut meluahkan rasa teruja dan turut berbangga apabila hasil seni anak Malaysia disedari oleh pelakon berasal dari Amerika Syarikat itu.

“Personaliti YouTube kegemaran saya akhirnya disedari oleh seorang pelakon Hollywood,” kata netizen.

Terdapat juga netizen yang bangga dan mengucapkan tahniah kepada Sofyank kerana videonya semakin tular.

Sofian sebelum itu memuat naik video tersebut di Instagram miliknya dan meminta pengikut memetik (tag) akaun pelakon tersebut.

“Jom spam @willsmith dan @lukaskaiser sehingga Will dapat tengok video ni.”

“Tak ada dalam mimpi untuk kerjasama dengan bintang terhebat dunia, bila ada peluang ini saya pasti buat yang terbaik.

“Terima kasih Will atas kebaikan anda untuk buat video ini dan terima kasih Lukas Kaiser kerana bersetuju dengan idea saya,” ditulis oleh Sofyank.

Video berdurasi satu minit yang disunting oleh Sofian itu merupakan sebahagian promosi untuk filem Gemini Man. Jejaka berasal dari Kelantan itu berpeluang bertemu dengan Will Smith ketika tayangan khas filem tersebut yang diadakan di Budapest, Hungary, baru-baru ini. – Agensi

Will Smith telah memuat naik semula video promosi filem Gemini Man suntingan daripada Sofyank . – Agensi