BAHANG Piala Dunia Rusia 2018 semakin dirasai dan 32 buah negara terpilih akan memulakan saingannya pada 14 Jun depan.
Tidak hanya negara-negara bertanding yang menjadi perhatian dunia, lagu tema acara sukan bola sepak dunia itu juga turut dinanti-nantikan.
Untuk edisi kali ini, penyanyi dan pelakon terkenal, Will Smith dipilih menyanyikan lagu temanya di samping penyanyi Nicky Jam dan Era Istrefi.
Lagu berjudul ‘Live It Up’ itu akan dipersembahkan di Stadium Luzhniki, Moscow dan lagu tersebut diterbitkan oleh DJ Diplo.
Sementara itu, pemenang anugerah Grammy, Smith memberitahu, peluang menyanyikan lagu tema ini adalah sesuatu yang sangat istimewa apabila dapat terlibat sama dalam projek tersebut.
“Ia bagai satu penghormatan apabila diminta untuk membuat persembahan di pentas Piala Dunia 2018.
“Acara global ini membawa semua orang dari seluruh dunia bersama-sama untuk bersorak, ketawa dan merasai magis,” ujarnya.
Sebelum ini, antara lagu Piala Dunia yang masih lagi berjaya ‘meracuni’ pendengar seluruh dunia ialah seperti La Copa de la Vida nyanyian Ricky Martin pada tahun 1998, Waka-Waka (Shakira – 2010) dan We Are One (Pittbull duet bersama Jennifer Lopez dan Claudia Leitte – 2014).