Williams catat kemenangan selepas kembali beraksi

LOS ANGELES, 12 OGOS – Serena Williams kembali beraksi dengan mencatatkan kemenangan selepas tertangguh selama enam bulan akibat wabak koronavirus kelmarin, dengan menewaskan pemain rangking bawah, Bernarda Pera dalam tiga set untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Pilihan Utama WTA di Kentucky.

Williams, yang sebelum ini tidak bermain dalam perlawanan kompetitif sejak penampilannya di Piala Fed Februari lalu, terpaksa bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain rangking ke-60, Pera, 4-6, 6-4, 6-1 dalam perlawanan berlangsung selama dua jam 15 minit di Kelab Tenis di Lexington.

“Saya tidak turun beraksi dalam tempoh yang lama,” Williams berkata selepas perlawanan. “Ia adalah bagus buat saya bermain tiga set dan memenangi perlawanan tiga set.”

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 38 tahun itu dilihat seperti akan tersingkir awal dalam set kedua, tetapi kembali dari ketinggalan 0-4 kepada 4-4 sebelum bertahan dan memenangi set untuk menyamakan kedudukan.

“Saya tidak mempunyai rentak yang baik, dan saya berkata ‘Serena, bermain seperti yang dalam latihan’,” Williams berkata.

“Saya tahu saya mampu bermain dengan lebih baik jika saya bertahan.” Williams akan bermain menentang sama ada adiknya, Venus atau Victoria Azarenka. Pera telah merebut kelebihan awal dalam set pertama, menewaskan Williams dengan mendahului 3-2 sebelum bertahan bagi baki set untuk menang 6-4. – AFP

Aksi Serena Williams beraksi di Kejohanan Terbuka Pilihan Utama WTA di Kentucky menentang Bernarda Pera. – AP