Williams nekad sertai terbuka AS

LOS ANGELES, 9 OGOS – Serena Williams berkata kelmarin bahawa dia akan meneruskan rancangannya untuk bermain di Terbuka AS meskipun ramai pemain-pemain telah menarik diri dari kejohanan Grand Slam yang akan datang disebabkan oleh kebimbangan mengenai koronavirus.

Pemenang Grand Slam sebanyak 23 kali itu akan kembali ke kejohanan tenis minggu depan di acara WTA Top Seed Open yang pertama di Lexington, Kentucky, menyambung semula musimnya setelah ketinggalan enam bulan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Williams, salah seorang pemain yang komited untuk beraksi di Terbuka AS meskipun terdapat kebimbangan mengenai pandemik, berkata bahawa rancangannya tidak berubah, dan menambah bahawa dia masih tidak pasti untuk pergi ke Eropah untuk menyertai Terbuka Perancis yang telah dijadualkan semula.

“Saya dapat membayangi diri saya menyertainya jika itu berlaku,” kata Williams apabila ditanya mengenai jadual perlawanannya semasa sesi sidang media kelmarin.

“Tetapi saya belum membuat sebarang perancangan pada masa depan, ketika kejohanan dibatalkan, saya berkata ‘biar saya memikirkan mengenai hari ini dan kita akan lihat apa yang terjadi pada masa depan.”

Gambar fail Serena Williams menjuarai perseorangan wanita dalam perlawanan tenis yang lalu menentang Garbine Muguruza. Williams akan meneruskan rancangannya untuk bermain di Terbuka AS meskipun ramai pemain-pemain telah menarik diri.- AP

Bekas pemain nombor satu dunia berkata dia menghabiskan masa selama enam bulan di kediamannya di Florida bagi mencegah ancaman koronavirus.

Williams yang mempunyai sejarah masalah emboli paru-paru telah membatasi keupayaan paru-parunya, satu faktor yang turut mendorongnya untuk ‘berehat seketika’ tahun ini.

“Saya mula menjarakan fizikal sejak Mac lalu,” katanya.

“Saya tidak mempunyai kapasiti paru-paru yang penuh jadi saya tidak pasti apa yang akan terjadi kepada saya.

“Saya mempunyai 50 penutup hidung dan mulut semasa saya berjalan-jalan, saya tidak mahu dijangkiti.”- AFP