Willian bakal tinggalkan Chelsea

LONDON, 10 OGOS – Willian berkata dia akan meninggalkan Chelsea dengan pengakhiran yang gemilang selepas tujuh tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, memberitahu peminat menerusi surat terbuka pada kelmarin.

Pemain sayap Brazil berusia 32 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal selepas gagal menandatangani perjanjian baharu dengan The Blues.

Willian menolak Tottenham Hotspur untuk menyertai Chelsea dari kelab Rusia, Anzhi Makhachkala bernilai 30 juta pound pada tahun 2013.

Dia menjaringkan 63 gol dari 339 penampilan dan memenangi lima trofi, dua kejuaraan EPL, sebuah Piala FA, sebuah Piala Liga dan Piala Liga Europa.

Walau bagaimanapun, kecederaan buku lali telah memaksanya untuk diketepikan dalam perlawanan akhir FA di mana mereka tewas di tangan Arsenal dan tewas dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas ditundukkan oleh Bayern Munich.

“Inilah masanya untuk meneruskan perjalanan. Saya semestinya akan merindui rakan sepasukan saya. Saya meninggalkannya dengan rasa bangga, selamat dan mengetahui bahawa saya telah memenangi banyak perlawanan dan sentiasa melakukan yang terbaik ketika menyarung baju Chelsea.

William – pemain yang mewakili skuad Brazil dalam aksi Piala Dunia 2014 dan 2018 – berkata dia tidak menyesal menyertai Chelsea berbanding musuh dari London, Spurs.

“Ia merupakan tujuh tahun yang gemilang. Pada Ogos 2013 apabila saya menerima tawaran dari Chelsea, saya berasa yakin di situlah tempat saya ingin bermain,” katanya.

“Hari ini saya yakin bahawa ia adalah pilihan yang terbaik. Di sini saya merasai saat-saat yang menggembirakan, ada juga yang menyedihkan, ada yang memenangi trofi dan perlawanan selalu sengit.

“Terdapat juga kritikan, itu normal, namun yang penting adalah kritikan itu mendorong saya untuk selalu memberikan yang terbaik dalam setiap sesi latihan, setiap permainan, untuk terus meningkat hingga saat terakhir saya memakai jersi Chelsea.”- AFP