LONDON, 28 Jun – Dengan Serena Williams bersedia bagi menyambut kelahiran anak pertamanya dan Maria Sharapova tidak bertanding disebabkan kecederaan paha, perlumbaan untuk dinobatkan sebagai juara Wimbledon adalah paling luas terbuka dalam satu generasi.
Setelah melangkah jauh dari gelanggang tatkala dia menunggu untuk menjadi seorang ibu pada bulan September ini, Williams yang memenangi Wimbledon dalam tahun 2015 dan 2016, telah mencipta satu vakum kuasa yang mana dijangka diisikan oleh Sharapova apabila pemain Rusia itu kembali dari hukuman gantung dopingnya.
Sebaliknya, Sharapova hanya bermain tiga kejohanan sebelum satu kecederaan otot di Rom memaksa pemenang gelaran utama lima kali itu menarik diri daripada kejohanan kelayakan Wimbledon.
Dalam ketiadaan pemain hebat Amerika Williams yang memenangi 23 Grand Slam dan Sharapova, tenis wanita tidak dapat dinafikan mempunyai kekurangan kuasa bintang memasuki Wimbledon yang akan mula berlangsung Isnin depan.
Namun di sisi lain adalah peluang bagi nama-nama kurang terkenal untuk merampas perhatian apabila pemain Latvia Jelena Ostapenko memperlihatkan kejayaan yang tidak disangka ketika memenangi Terbuka Perancis.

“Terdapat kira-kira 15 wanita yang boleh memenangi tahun ini. Ia satu peluang yang paling terbuka,” kata John Lloyd, bekas pemain nombor satu Britain yang kini bekerja sebagai pengulas BBC.
Ostapenko, 20, kini berada di kedudukan ke-13 dunia selepas memenangi perlawanan daripada ketinggalan satu set dan 3-0 di set kedua untuk menewaskan Simona Halep dalam perlawanan akhir Roland Garros. Kini dia perlu membuktikan kemenangan itu bukan sahaja sesuatu nasib. – AFP