Monday, November 28, 2022
23.1 C
Brunei

-

Wimbledon sedia bagi blockbuster Isnin

LONDON, 9 Julai – Buat pertama kali sejak 2011, empat pemain lelaki pilihan teratas telah mencapai pusingan keempat Wimbledon dengan Andy Murray, Novak Djokovic, Roger Federer dan Rafael Nadal mengambil tempat dalam perlawanan esok.

Keempat-empat bintang itu berkongsi gelaran Wimbledon sejak 2003 apabila Federer memenangi gelaran pertama daripada tujuh trofi di All England Club itu.

Djokovic telah memenangi kejohanan itu tiga kali sementara juara bertahan Murray dan Nadal memenanginya dua kali.

Ia adalah satu dominasi yang tidak kelihatan akan berakhir esok apabila pusingan keempat berlangsung.

Murray yang telah mengharungi kesakitan pinggang, satu-satunya daripada kumpulan digelar ‘Big Four’ itu yang telah melepaskan satu set dalam minggu pertama.

Djokovic meraikan kemenangannya dengan memberikan bentuk hati kepada para pemerhati di Centre Court. - AP
Djokovic meraikan kemenangannya dengan memberikan bentuk hati kepada para pemerhati di Centre Court. – AP
Nadal akan menentang Gilles Muller pada pusingan keempat Wimbledon. - AP
Nadal akan menentang Gilles Muller pada pusingan keempat Wimbledon. – AP

Dia akan berdepan pemain Perancis Benoit Paire yang tidak dapat diramal pada pusingan keempat.

“Dia memiliki tangan yang bagus, memiliki pergerakan yang menarik, mengambil segala peluang dan memainkan pukulannya,”kata Murray yang mendahului 1-0 dalam rekod karier ke atas Paire.

Murray setakat ini tidak pernah tewas dalam saingan Wimbledon sebelum suku akhir sejak 2006.

Djokovic pula akan menentang pemain bukan pilihan dari Perancis Andrian Mannarino yang mana satu-satunya pertembungan mereka adalah pada pusingan kedua Wimbledon tahun lepas yang akhirnya dimenangi oleh Djokovic.

Bekas jurulatih Djokovic, Boris Becker memuji prestasi minggu pertama yang ditunjukkan oleh anak didiknya itu selepas bimbang pemain Serbia itu telah hilang kecintaannya terhadap sukan itu selepas tidak dapat mempertahankan semua gelaran Grand Slam yang dimenanginya tahun lepas.

“Boris amat mengenali saya. Jadi ia adalah betul apabila dia berkata semangat itu sudah kembali,” kata pemain pilihan kedua Djokovic.

Bidaan Federer bagi rekod gelaran kelapan Wimbledon yang juga akan membuatnya juara tertua di All England Club, berdepan Grigor Dmitrov yang memiliki rekod 5-0 berpihak kepada Federer sepanjang karier mereka, lelaki yang sebelum ini digelar sebagai waris naturalnya.

“Ia satu hari yang hebat untuk bermain. Saya akan gembira untuk menjadi seorang peminat,” kata Federer mengenai hari apabila semua perlawanan 16 pemain terakhir dalam acara lelaki dan wanita dimainkan.

Federer akan bermain pusingan keempat di Wimbledon buat kali ke-15.

Federer dan Murray ketika memenangi perlawanan masing-masing pada pusingan ketiga Wimbledon. - AP
Federer dan Murray ketika memenangi perlawanan masing-masing pada pusingan ketiga Wimbledon. – AP

Sementara itu, Nadal yang baru sahaja memenangi gelaran Terbuka Perancis ke-10, berdepan pemain kidal Gilles Muller yang berhasrat untuk membuat kemaraan ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam tujuh tahun.

Nadal memiliki rekod 5-1 ke atas Muller, meskipun dia akan perlu berhati-hati memandangkan pemain dari Luxembourg itu telah menewaskannya pada Wimbledon 2005.

“Dia adalah salah seorang lawan yang sukar pada permukaan ini,” kata Nadal.

Gelaran kejohanan dan juga ranking nombor satu dunia menjadi pertaruhan dalam kejohanan wanita yang kekal terbuka luas dalam ketiadaan Serena Williams dan Maria Sharapova.

Angelique Kerber, naib juara tahun lepas, boleh kehilangan ranking teratasnya kepada sama ada Simona Halep atau Karolina Pliskova meskipun pemain Czech itu telah tersingkir dalam pusingan kedua.

Pemain Jerman itu akan berdepan naib juara 2015, Garbine Muguruza yang sebelum ini berjaya mengharungi tiga set untuk menewaskan Shelby Rogers di tempat ketiga.

Dalam pada itu, Muguruza telah mara ke pusingan 16 terakhir tanpa melepaskan sebarang set, satu kempen yang juga telah memeranjatkan dirinya.

“Saya tidak pernah merasa seselesa begini pada permukaan rumput. Setiap kali saya mulakan musim rumput, saya seperti, Bagaimana saya boleh mara ke pusingan akhir?,” kata juara Terbuka Perancis 2016 itu.

Muguruza, pemain pilihan ke-15, memegang rekod 4-3 ke atas Kerber, memenangi kesemua empat perlawanan terakhir mereka termasuk pusingan keempat Wimbledon dua tahun lepas.

Victoria Azarenka pula berhasrat untuk menjadi ibu pertama untuk memenangi Wimbledon dalam 37 tahun, berdepan pemain pilihan kedua dari Romania Simona Halep.

Bekas pemain nombor satu dunia itu bermain Grand Slam pertamanya sejak melahirkan anak lelaki Disember lepas.

Dia membuat kemaraan separuh akhir dalam 2011 dan 2012 sementara Halep membuat kemaraan dalam pusingan empat terakhir tiga tahun lalu. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Tsai letak jawatan Pengerusi DPP

TAIPEI, 27 NOV – Ketua Taiwan Tsai Ing-wen telah meletak jawatan sebagai pemimpin parti pemerintahnya selepas mencatat kekalahan dalam pilihan raya tempatan semalam. Parti Demokratik...
- Advertisment -