Wings anjur Konsert Maya

Kali pertama menganjurkan konsert secara maya, vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie menyifatkan Konsert Kita Merdeka yang bakal diadakan pada 29 Ogos ini sebagai suatu eksperimen.

Awie berharap dapat membiasakan diri dengan amalan normal baharu dan Konsert Kita Merdeka dapat menjadi contoh kepada penyanyi serta kumpulan muzik lain yang mahu mengadakan konsert maya.

“Dalam situasi sekarang, mahu atau tidak, kita kena patuh dengan normal baharu. Justeru, konsert ini akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu tiada penonton.

“Mungkin apa yang dilakukan boleh menjadi contoh kepada penyanyi lain yang mahu mengadakan konsert virtual. Saya tiada masalah berinteraksi dengan penonton di rumah kerana sudah biasa bercakap depan kamera.

“Namun, untuk mengelak rasa janggal membuat persembahan tanpa penonton depan mata, mungkin saya akan minta penganjur meletakkan kerusi dan belon di depan pentas bagi memeriahkan suasana,” katanya kepada media.

Kumpulan Wings bakal mengadakan konsert maya pada 29 Ogos ini. – Agensi

Biarpun beraksi tanpa penonton, Awie berkata, mereka menjanjikan persembahan terbaik kepada peminat.

“Peminat teruja apabila mendapat tahu Wings bakal mengadakan konsert. Walaupun hanya boleh ditonton menerusi peranti atau di kaca televisyen (TV), namun kami akan pastikan konsert ini tidak akan mengecewakan terutama daripada aspek teknikal seperti sistem bunyi dan pencahayaan.

“Tidak hanya mempertaruhkan nyanyian, kami menyelitkan elemen lakonan dan aspek lain yang sesuai untuk ditayangkan di kaca TV.

“Penonton kena pastikan mereka mempunyai pembesar suara atau fon kepala yang berkualiti untuk menikmati muzik dipersembahkan,” katanya. Persembahan mengambil masa lebih dua jam itu bakal menyaksikan kumpulan yang popular menerusi lagu Taman Rashidah Utama dan Sejati itu mendendangkan 15 lagu.

Konsert Kita Merdeka anjuran Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd itu boleh ditonton melalui penstriman di www.wingskitamerdeka.liveframe.my. secara berbayar. – Agensi