Wira COVID -19 China diberi penghormatan

BEIJING, 8 SEPT – China telah menjalani ‘ujian luar biasa dan bersejarah’ dalam menangani wabak koronavirus, Presiden Xi Jinping berkata hari ini semasa upacara penghargaan untuk kakitangan perubatan profesional yang diraikan dengan meriah.

Media propaganda negara itu telah memuji tindak balas China menangani COVID-19, menggambarkan krisis kesihatan sebagai contoh ketangkasan dan kepimpinan Komunis yang teratur.

Xi memberikan pingat emas kepada empat wira dalam bidang perubatan di hadapan ratusan orang yang memberi tepukan hari ini, kesemua mereka memakai penutup mulut dan hidung dan pin bunga merah yang menyerlah.

“Kita telah berjaya menjalani ujian yang luar biasa dan bersejarah,” kata Xi, memuji para wira negara yang berjuang memerangi wabak tersebut.

“Kita segera mencapai kemenangan dalam ‘peperangan’ menentang koronavirus. Kita mendahului dunia dalam pemulihan ekonomi dan menentang COVID-19.”

Zhong Nanshan (kiri) menerima anugerah daripada Presiden China, Xi Jinping semasa upacara penghormatan para wira yang berjuang memerangi pandemik COVID-19. – AFP

China berada di bawah tekanan global mengenai tindak balas terhadap virus, dengan Amerika Syarikat dan Australia mengemukakan tuduhan terhadap Beijing bahawa mereka cuba menyembunyikan asal usul virus berkenaan.

Acara besar-besaran di Dewan Besar Rakyat bermula dengan upacara berkabung selama seminit untuk mereka yang telah terkorban semasa penularan wabak tersebut.

Empat orang yang menerima anugerah termasuk Zhong Nanshan berusia 83 tahun – pakar perubatan terkemuka negara tersebut yang menjadi wira kepada China menentang penularan wabak COVID-19.

Dia dianugerahkan pingat tertinggi kebangsaan China oleh Xi, yang mengalungkan pingat kepada Zhong.

“Kita akan bekerjasama dengan pekerja perubatan di seluruh dunia untuk terus menjejak asal usul virus tersebut,” kata Zhong.

Beijing berkeras bahawa sumber virus – yang kali pertama dikesan di bandar raya China, Wuhan pada tahun lalu – masih tidak diketahui.

Tiga lagi penerima yang diberikan anugerah kehormatan ‘Wira Bangsa’ – pakar bio perubatan, Chen Wei, ketua hospital di Wuhan dan pakar perubatan tradisi China berusia 72 tahun.

Beberapa orang yang hadir menitiskan air mata semasa mendengar ucapan daripada penerima. – AFP