KUALA LUMPUR, 25 DIS – Sempena cuti Krismas, ramai rakyat Malaysia memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga atau mengunjungi pusat beli-belah, bagaimanapun bagi peminat aktiviti lasak, mereka memanfaatkan masa terluang melakukan pendakian santai bersama dua wira Everest Malaysia di Bukit Wawasan, Puchong dekat sini hari ini.
Datuk M. Magendran dan Datuk N. Mohanadas, yang mengetuai sekumpulan kecil pendaki termasuk petugas Bernama, berkongsi kisah menarik mereka menawan puncak gunung tertinggi dunia itu pada 1997 sepanjang tiga jam meredah trek pendakian, bermula 8 pagi.
Pendaki yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur iaitu lapan tahun hingga 60an, mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dan mereka juga mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera di kaki bukit sebelum mendaki bukit setinggi 233 meter itu.
Magendran, rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest, 15 minit sebelum rakan sepasukan Mohanadas, berkata lebih ramai rakyat Malaysia kini meminati aktiviti pendakian, yang telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan hobi berbanding tahun 1990an.
“Saya gembira aktiviti mendaki telah menjadi gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami tidak melihat suasana ini pada 1990an. Tetapi pada masa sama, kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar dan memastikan kebersihannya,” katanya kepada Bernama, dan menambah ia adalah pendakian pertamanya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Bernama































