Wira Fajar ajak belia berjemaah

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Bagi mendidik diri para belia untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan belia-belia masjid telah mengadakan Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di Masjid bertempat di Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjung Bunut, hari ini.

Lebih 400 orang menghadiri majlis berkenaan yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli persatuan belia, pelatih Pusat Pembangunan Belia, belia-belia masjid, para pelajar institusi pengajian tinggi, ahli-ahli Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), alumni program-program kebangsaan dan antarabangsa serta penduduk sekitar Kampung Tanjung Bunut.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Acara dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Awang Asbinin bin Haji Zainal diikuti dengan ceramah dan tazkirah Subuh bertajuk ‘Belia Siaga Masa Depan’ yang disampaikan Dr Andas Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah dari Pusat Dakwah Islamiah dan diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi dan Sembahyang Sunat Dhuha.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama jemaah lain ketika mendengarkan tazkirah Subuh pada program tersebut.