Wira ‘oren’ pastikan persekitaran sentiasa bersih

KEPALA BATAS – Dalam kekalutan dunia memerangi wabak COVID-19, ada insan yang tidak ketinggalan menjalankan amanah dengan memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan yang bersih dan terjaga. Mereka ini adalah wira ‘oren’ Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Memulakan rutin harian seawal pukul 7 pagi, Md Tarmizi Abd Rahman, 38, tidak pernah mengeluh dengan tanggungjawab yang dipikul sejak enam tahun lepas demi mencari sesuap nasi lebih-lebih lagi ketika wabak ganas COVID-19 menyerang dunia seolah-olah tiada erti belas.

“Jadual kami berjalan seperti biasa, namun ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami perlu lebih aktif mengangkut sampah sekitar kawasan Majlis (MBSP) iaitu di Zon 2 (kawasan Bertam) sebab orang tak boleh keluar rumah dengan kerap,” katanya ketika ditemui media.

Pada hari biasa waktu kerja dari 7 pagi sehingga 4 petang, namun semasa PKP jadual kerja telah disingkatkan dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.

“Hari ini saya dan beberapa anggota MBSP turut ditugas mengangkut sampah kebun seperti dedaun, ranting pokok, perabot kayu yang rosak selain sampah domestik.

Dalam kekalutan dunia memerangi COVID-19, wira ‘oren’ Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)yang tidak pernah leka dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan memastikan persekitaran sentiasa bersih dan terjaga. – Bernama

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata dalam mendepani wabak yang ‘tidak berupa’ itu, dirinya dan rakan sekerja sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali melakukan operasi pembersihan.

“Jauh di sudut hati kami bermohon kepada Tuhan agar melindungi kami daripada segala wabak yang boleh mendatangkan mudarat kepada kami dan keluarga.

“Malah, pihak pengurusan MBSP juga sering berpesan kepada kami supaya mengamalkan langkah pencegahan di tahap maksimum seperti sentiasa membasuh tangan dan membersihkan peralatan yang digunakan selepas bertugas agar tidak membawa ‘pulang’ musuh yang tidak kelihatan ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk RozaliMohamud ketika dihubungi media berkata jumlah berat sampah domestik dan industri telah menunjukkan penurunan pada minggu pertama sejak PKP dilaksanakan.

“Jumlah berat sampah di Seberang Perai bagi minggu pertama PKP berkurang sebanyak 22.26 peratus dan bagi minggu kedua berkurang 46.04 peratus,” katanya

Dalam memastikan kakitangan MBSP mematuhi langkah-langkah pencegahan sewaktu di lapangan, kakitangan MBSP telah diberikan taklimat mengenai kaedah penyebaran penyakit ini serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan. – Bernama