Wira Paralimpik Malaysia disambut meriah

SEPANG, 6 SEPT – Kepulangan kelompok terakhir Kontinjen Malaysia daripada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, disambut meriah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara yang hadir menyambut kepulangan kelompok terakhir atlet Malaysia itu.

Mereka yang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 0071 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita kira-kira 10.45 pagi tadi, dan mendarat di KLIA pada pukul 4.45 petang.

Dua pemenang pingat emas iaitu juara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Abdul Latif Romly dan juara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou antara yang pulang hari ini.

Kelompok atlet itu turut disertai Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, ketua jurulatih olahraga para negara R.Jaganathan, atlet pecut acara 100m lelaki T36 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, jurulatih badminton Datuk Rashid Sidek dan jurulatih lompat jauh Mohd Syahrul Amri Suhaimi. – Bernama

Kontinjen Malaysia terakhir daripada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam. – Bernama