BERLIN, 7 Ogos – Pemain tengah Belgium, Axel Witsel hampir menyertai Borussia Dortmund dalam perjanjian empat tahun, menurut pengumuman kelab Bundesliga itu kelmarin.
Pemain berusia 29 tahun itu yang beraksi untuk kelab China, Tianjin Quanjian sejak Januari 2017 tetapi aksi mantapnya bersama Belgium semasa Piala Dunia membuka laluan untuk kembali ke Eropah. “Borussia Dortmund hampir menandatangani pemain Belgium, Axel Witsel,” menurut kelab gergasi Jerman itu.
“Pemenang tempat ketiga Piala Dunia itu menyertai pasukan BVB hari ini (semalam) di mana para pemain menjalani kem latihan di Bad Ragaz (Switzerland).”
Menurut Dortmund, Witsel telah mengaktifkan klausa yang dilaporkan bernilai AS$23 juta sebelum tarikh tutup perpindahan di China pada Ahad lalu dan perpindahannya akan disahkan dalam beberapa hari ini.
Bekas bintang Zenit St Petersburg telah menjaringkan sembilan gol dalam 96 aksi antarabangsa dan beraksi sebanyak enam kali di Piala Dunia Rusia.
“Selepas aksi Piala Dunia, saya berusaha untuk kembali ke Eropah,” kata Witsel.
“Saya sangat gembira dan juga bangga bahawa tidak lama lagi saya akan beraksi untuk BVB. Saya tidak perlu memikir lama selepas rundingan pertama kerana menurut saya Borussia Dortmund merupakan salah sebuah kelab terbaik di benua ini.
“Saya tidak sabar untuk beraksi di depan 81,000 penonton.”
Witsel akan menjadi pemain kedua yang ditandatangani oleh jurulatih Dortmund baharu, Lucian Favre selepas membawa masuk Dane Thomas Delaney ke Signal Iduna Park dari Werder Bremen dengan nilai 20 juta euro.
Dortmund bergelut untuk memberi tekanan terhadap Bayern Munich di Bundesliga dalam beberapa musim kebelakangan dan hanya menghuni kedudukan keempat dan slot terakhir Liga Juara-Juara mengatasi Bayer Leverkusen selepas berbeza jaringan gol pada musim lepas. – AFP