WJC 2020 tumpu isu COVID-19, berita tidak benar

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Persidangan Wartawan Sedunia 2020 (WJC 2020) membuka tirainya di Seoul semalam, dengan Perdana Menteri Korea Selatan Chung Sye-kyun menyuarakan sokongan padunya kepada wartawan di saat mencabar akibat pandemik COVID-19 dan berharap perhimpunan kali ini memperkukuh mengenai kepentingan kewartawanan.

WJC kelapan tahun ini diadakan secara dalam talian berikutan larangan perjalanan disebabkan COVID-19, menurut laporan The Asian.

“Walaupun baru berusia lapan tahun, namun, persidangan itu sudah dianggap sebagai satu contoh diplomasi awam yang sangat penting,” kata perdana menteri dalam ucapannya.

Tambah beliau dunia yang terkepung akibat pandemik yang belum pernah berlaku sebelum ini di era moden dan kesan kemelesetan ekonomi, diburukkan lagi dengan penyebaran berita tidak benar.

Katanya, untuk memastikan kebebasan bersuara tidak dihalang, peraturan untuk menangani berita tidak benar perlu diteliti dengan sebaik mungkin.

“Pendekatan itulah yang cuba dilakukan kerajaan Korea dalam menangani masalah berita tidak benar mengenai COVID-19. Apatah lagi apabila maklumat itu menimbulkan masalah sosial yang serius, mengancam kesihatan dan keselamatan rakyat.” – Bernama