Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 18 Sept – Pasukan Wolves B telah menjuarai Perlawanan Bola Keranjang Cabaran Sentral anjuran pertama kalinya KBSentral dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait dan Shooting Stars Brunei Darussalam.
Manakala Pasukan 3 AM terpaksa akur untuk menduduki tempat kedua, sementara Pasukan Milly Rock menyandang tempat ketiga dan Lynx di tempat keempat.
Sebanyak 15 pasukan telah menyertai pertandingan itu yang telah diadakan di kawasan lobi pusat membeli-belah itu di sini.
Perlawanan tersebut telah berlangsung selama dua hari dengan menyaksikan pasukan bersaing untuk melayakkan diri sebagai lapan pasukan terbaik, dan memasuki ke peringkat suku akhir perlawanan.
Antara lapan pasukan yang telah layak masuk ke suku akhir perlawanan ialah Milly Rock, JJ WR Star, Lynx Starboys, Wolves A dan B, 3 AM, dan Zhuba, dan akhirnya perlawanan menyaksikan peringkat akhir antara Pasukan Wolves B dan 3 AM.


Hadiah-hadiah berbentuk wang tunai dan piala, bagi johan menerima sejumlah $200 dan piala, di tempat kedua menerima wang tunai $150 dan piala, manakala di tempat ketiga menerima $100 beserta piala.
Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disempurnakan penyampaiannya oleh Pengerusi Persatuan Zhong Zin Hakka Union, Chai Tze Yun.
Perlawanan diadakan antara lain bertujuan untuk meningkatkan minat di kalangan belia dalam permainan sukan bola keranjang dan juga untuk menambahkan pemain-pemain yang berbakat dalam permainan tersebut.
Bahkan juga untuk menyemaikan sikap mahu bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat di kalangan belia.