Wolves lantik Burno Lage

LONDON, 9 JUN – Wolves mengumumkan pelantikan bekas pengurus Benfica, Bruno Lage sebagai pengurus baharu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk menggantikan Nuno Espirito Santo.

Pengurus dari Portugal itu membawa Benfica ke gelaran Liga Primeira pada musim pertamanya dalam pengurusan pada 2019 tetapi meninggalkan kelab pada tahun berikutnya setelah gagal mempertahankan mahkota.

“Pertama sekali, saya sangat gembira,” kata Lage kepada laman web kelab. “Ini peluang besar. Saya sangat gembira kerana saya telah kembali ke negara ini dan menjadi pengurus pasukan besar.

“Ini adalah pasukan dan kelab yang ingin melakar sejarah dan peluang untuk bersaing di EPL. Jadi, saya gembira, teruja, dengan cita-cita besar untuk melakukan perkara-perkara hebat untuk kelab ini.” – AFP