Wolves tambah sengsara Everton

WOLVERHAMPTON, UNITED KINGDOM, 2 NOV – Wolves berjaya menundukkan Everton sekaligus memberikan kekalahan ketiga berturut-turut di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Max Kilman dan Raul Jimenez menjaringkan gol kemenangan 2-1 di Molineux kelmarin.

Pasukan kendalian Bruno Lage menguasai perlawanan pada separuh masa pertama hasil jaringan sulung Kilman bagi pasukan Wolves dan penamat klinikal daripada Jimenez.

Penyerang Everton, Alex Iwobi berusaha untuk merapatkan jurang jaringan pada separuh masa kedua, namun Wolves kekal bertahan untuk melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada lima perlawanan.

Dengan empat kemenangan berturut-turut, Wolves kini melonjak ke kedudukan ketujuh di Liga Perdana Inggeris, manakala Everton jatuh ke tangga ke-10.

“Buat masa ini saya tidak mengambil berat tentang kedudukan liga. Saya mahu mendapatkan mata. Saya rasa musim sejuk akan menjadi sukar untuk kami, kami perlu bekerja keras. Untuk memenangi mata terbanyak kami perlu memenangi perlawanan seperti ini,” kata Lage.

Reaksi pemain Wolverhampton Wanderers, Raul Jimenez meraikan ketika menjaringkan gol kedua pasukannya dalam perlawanan EPL menentang Everton di stadium Molineux kelmarin. – AP

Selepas kekalahan Everton yang memalukan 5-2 di gelanggang sendiri kepada Watford pada perlawanan sebelumnya, keputusan ini merupakan satu lagi kekecewaan untuk pasukan Rafael Benitez.

Everton hanya memenangi satu daripada enam perlawanan liga terakhir mereka

sekaligus menghancurkan keyakinan yang mereka hasilkan semasa empat perlawanan tanpa kalah pada permulaan waktu Benitez mengambil alih tugasan di Everton sebagai pengurus.

“Apabila awda kalah dalam perlawanan, awda setentunya rasa kecewa. Kami terlalu bimbang tentang melakukan kesilapan tetapi pada separuh masa kedua kami menunjukkan sikap yang perlu ditunjukkan,” kata Benitez.

“Kami perlu belajar daripadanya. Apabila kami mempunyai semua pemain yang ada, kami akan menjadi lebih baik,” tambahnya. – AFP