Wolves yakin tempah slot Liga Europa

WOLVERHAMPTON, 21 JULAI – Wolverhampton kembali mendapat tempat keenam di Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah berjaya menewaskan Crystal Palace 2-0 semalam, justeru semakin hampir untuk melayakkan diri ke Liga Europa musim depan.

Kemenangan itu menjadikan Wolves kembali di atas Tottenham dengan kelebihan satu mata menjelang perlawanan terakhir musim EPL Ahad ini.

Wolves perlu berdepan Chelsea manakala Tottenham perlu menewaskan Palace, yang telah tewas kesemua tujuh perlawanan terakhir mereka.

Daniel Podence, yang baharu ditandatangani mereka pada musim sejuk dari Olympiakos, menjaringkan gol pertamanya di EPL pada minit ke-41 dengan tandukan yang tidak dikawal dari hantaran lintang Matt Doherty.

Jonathan Castro mempamerkan aksi yang cemerlang untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-68.

“Kami mahu berada di Eropah lagi dan sekarang kami mungkin perlu menang di Chelsea untuk memastikan kami kembali,” kata Doherty kepada BT Sport.

“Saya fikir kami mungkin bermula agak perlahan, agak lembap pada separuh masa pertama, bergelut untuk maju ke depan, tetapi setelah kami menjaringkan gol, kami semakin yakin.”

Palace menunjukkan tanda-tanda patah semangat, keputusan paling teruk di bawah pengurus Roy Hodgson.

Palace kehilangan pemain per-tahanan Mamadou Sakho kerana kecederaan kaki pada minit ke-23. – AP

Aksi Adama Traore ketika melompat cuba untuk mengawal bola di depan Andros Townsend semasa perlawanan EPL antara Wolverhampton Wanderers dan Crystal Palace di Stadium Molineux, Wolverhampton, England, semalam. – AP