Woods cemerlang peringkat ke-7 Vuelta

MADRID, 28 OKT – Pelumba Kanada, Michael Woods merekodkan masa cemerlang untuk memenangi peringkat tujuh di La Vuelta ketika Richard Carapaz kekal pendahulu keseluruhan perlumbaan.

Woods berjaya meloloskan diri di depan dengan mendahului kira-kira empat saat di garisan penamat membabitkan lima pelumba di utara Sepanyol dan melengkapkan kejayaannya yang kedua dalam peringkat perlumbaan itu.

Pelumba berusia 34 tahun itu berjaya mendahului dua pelumba Sepanyol, Omar Fraile dari pasukan Astana yang menduduki tempat kedua dan Alejandro Valverde bersama Movistar di tempat ketiga, sementara pelumba Perancis, Nans Peters dan Guillaume Martin di kedudukan keempat dan kelima.

“Ia hari yang istimewa dan menakjubkan dapat berlumba di negara Basque,” kata Woods.

“Saya berjaya mengatasi empat pelumba itu, mereka memberi tentangan yang sangat sengit dan saya pasti merasa kecewa jika tidak mampu melepasi saingan itu.

“Dengan Valverde dalam kumpulan itu saya hanya tidak dapat meneruskan kerana kami ada Hugh Carthy dalam kelompok peloton dan saya tidak dapat memberikannya lebih masa dalam kelayakan umum.

“Jadi merasa sedikit lega dan sedikit bernasib baik, saya berjaya memecut dan memenangi perlumbaan.”

Woods, yang akan menyertai Israel Start-Up Nation pada 2021, mengalami kecederaan patah kaki pada awal tahun ini namun kembali bangkit dengan kemenangan peringkat di Tirreno-Adriatico pada September lalu dan meneruskan aksinya di Sepanyol. – AFP

Pelumba pertama Kanada, Michael Woods meraikan kemenangan peringkat ke-7 jelajah berbasikal La Vuelta 2020 di Sepanyol, perlumbaan sejauh 159.7 km dari Vitoria-Gasteiz ke Villanueva de Valdegovia, kelmarin. – AFP