Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Woods mahu ubah nasibnya di Riviera

    LOS ANGELES, 14 Feb – Tiger Woods mendapati banyak perkara yang boleh disukai mengenai Kelab Country Riviera, tetapi tidak dengan rekodnya di sini.

    “Saya suka padang golf di sini, saya menyukai susun aturnya, ia cantik pada pandangan saya namun permainan saya teruk sekali,” kata Woods menjelang Terbuka Genesis yang akan bermula esok di Pasifik Palisades, barat bandar Los Angeles.

    “Ia salah satu perkara yang pelik.”

    Sejarah antara Woods dan Riviera cukup lama.

    Dia telah memulakan Jelajah PGA pertamanya di Riviera ketika berumur 16 tahun pada 1992, bermain atas tiket jemputan penaja dan gagal melepasi kelayakan.

    Kemudian Woods merangkul 79 gelaran dalam Jelajah Amerika Syarikat dan 14 kejuaraan terbesar, tetapi dalam 10 kemunculannya di Riviera, keputusan terbaiknya ialah di tempat kedua pada 1998, disusuli dengan terikat di kedudukan yang sama pada tahun berikutnya.

    Ia adalah satu-satunya kejohanan yang sering disertainya namun tidak pernah merangkul gelaran juara.

    Kali terakhir dia beraksi di kejohanan itu pada tahun 2006, dan dia mungkin terus tersingkir dari Riviera sekiranya tidak mengambil alih sebagai penganjur kejohanan tahun lalu.

    Kemunculannya yang dijadualkan pada tahun lalu telah tertangguh akibat kecederaan belakang yang dialaminya muncul semula.

    Tahun lalu, Woods mengalami kesakitan yang teramat sehingga tidak mampu duduk lama ketika persidangan media menjelang kejohanan, apatah lagi untuk bersaing.

    Dia kini boleh bermain tanpa merasa sakit setelah menjalani pembedahan tulang belakang April lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda