Woods tak mungkin beraksi sepenuh masa

LOS ANGELES, 30 NOV – Tiger Woods menolak kemungkinan akan kembali bermain golf profesional sepenuh masa ketika dia bergelut untuk pulih daripada kecederaan kaki.

Juara major 15 kali itu memberitahu Golf Digest dalam satu temu bual sekalipun menaruh keyakinan untuk kembali bermain dalam masa terdekat tetapi bagi kejohanan terpilih.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 45 tahun itu mengalami keretakan di kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan di Los Angeles pada Februari.

Sebelum kemalangan itu, Woods sudah mengurangkan jumlah penyertaannya selepas menjalani beberapa siri pembedahan di belakang dan lutut.

“Saya fikir kadang kala lebih realistik bermain di Jelajah satu hari nanti – tidak secara sepenuh masa – hanya yang terpilih,” kata Woods.

“Memilih beberapa pertandingan setahun dan beraksi tahap itu sahaja.

“Ia realiti yang agak malang, tetapi itulah realiti saya. Saya memahaminya dan dapat menerimanya,” kata Woods.

Woods yang memenangi gelaran major ke-15 dalam saingan Masters 2019, memberi bayangan untuk kembali beraksi selepas memuat naik klip video dia sedang membuat pukulan di lapangan menerusi Twitter pada awal bulan ini, di samping keterangan menyatakan dia semakin menunjukkan peningkatan untuk kembali pulih. – AFP

Gambar fail menunjukkan reaksi Tiger Woods selepas membenam pukulan putt di lubang ke-18 untuk memenangi pusingan akhir Masters di Kelab Golf Augusta di Augusta, Georgia. – AFP