‘Woody’ juara Kategori Raja Kibas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Ayam serama bernama Woody dari Negara Brunei Darussalam muncul juara bagi Kategori Raja Kibas dalam Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama yang berlangsung di Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

Sebanyak 50 ekor ayam daripada penternak-penternak dari Sarawak, Sabah dan Negara Brunei Darussalam dipertandingkan dalam 10 kategori pertandingan yang dianjurkan oleh Penternak Serama Sandakan itu.

Ayam bernama Woody itu dimiliki oleh Awang Emran bin Haji Damit yang juga pemilik kepada ayam serama bernama Elsa yang muncul juara dalam Kategori Induk pada Pertandingan Ayam Cantik dan Seni Terbuka 2019 di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Selain menjuarai Kategori Raja Kibas, Woody turut mendapat tempat kedua dalam Kategori Serama (B).

Di samping itu, ayam-ayam serama Awang Emran yang lain iaitu Thomas menduduki tempat kedua dalam Kategori Serama (ATL) dan Sri Anna yang mendapat tempat ketiga dalam Kategori Serama (Induk).

Awang Emran menyatakan perasaan gembira bahawa ayam-ayam yang dilatihnya telah berjaya meraih kejayaan dan segala usaha serta latihan yang dilakukan telah membuahkan hasil.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan di Kelantan pada 2020.

Ayam Serama bernama Woody yang muncul juara dalam Kategori Raja Kibas dan tempat kedua dalam kategori Serama (B) dalam pertandingan di Sandakan, Sabah, baru-baru ini. – Gambar ihsan Emran bin Haji Damit