WRS sahkan jantina anak panda gergasi pertama S’pura

SINGAPURA, 10 SEPT – Panda jantan pertama Singapura dari spesies panda gergasi yang dilahirkan di River Safari di sini, pada 14 Ogos dilaporkan membesar dengan sihat.

Anak panda yang belum menjalani pemeriksaan penuh veterinar itu dijaga dengan baik ibunya Jia Jia serta petugas zoo. Hubungan rapat dengan petugas zoo dengan Jia Jia, membolehkan anak panda itu dipantau dari jarak dekat selain petugas berpeluang mengesahkan jantinanya.

“Jia Jia memainkan peranannya sebagai ibu, menjaga anaknya dengan baik berbanding jangkaan sebelum ini. Oleh itu, krew penjagaan panda memutuskan anak panda itu akan terus dijaga ibunya selama mungkin,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Sains Hayat di Wildlife Reserves Singapore (WRS), Dr Cheng Wen-Haur dalam satu kenyataan hari ini.Menurut WRS, anak panda itu mula menunjukkan tanda hitam yang menonjol di sekitar mata, telinga, dan sudah mula menampakkan versi ibu bapanya berbanding ketika lahir dengan keadaan bulu nipis serta berwarna merah muda. – Bernama