WSAC berjaya jadi platform kongsi budaya

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya (WSAC) kali kelapan yang menutup tirainya hari ini berjaya menarik penyertaan 434 delegasi dari 81 negara sepanjang empat hari penganjuran di ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli berkata kehadiran peserta dari luar negara itu membuktikan persidangan itu berjaya menjadi platform perkongsian idea dan menceritakan permasalahan dalam seni dan budaya yang berlaku di negara masing-masing.

Katanya melalui persidangan itu, setiap peserta berpeluang meneruskan usaha dalam menambah baik industri seni dan budaya di negara masing-masing.

“Selama ini, kita (Malaysia) terlalu berada di bawah kepompong kita sendiri atau di bawah tempurung sendiri tetapi melalui persidangan ini, kita dapat melihat bahawa masalah seni dan budaya bukan sahaja di Malaysia tetapi sebahagian besar negara lain juga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan WSAC Kuala Lumpur 2019, di Kuala Lumpur Performing Arts Centre, di sini.

Norliza berkata pihaknya akan terus berusaha memperkemaskan strategi dan struktur JKKN yang sedia ada untuk membangunkan industri seni dan budaya tempatan.

“Pengemasan strategi dan struktur itu akan dilakukan berdasarkan beberapa maklumat baharu yang kita (JKKN) peroleh dalam setiap sesi persidangan ini,” tambahnya.

Persidangan yang bertemakan ‘Minda Mudah Alih: Budaya, Pengetahuan dan Perubahan’ itu dianjurkan dengan kerjasama International Federation of Arts Councils and Culture Agencies (IFACCA) dan JKKN.

Sementara itu, Pengerusi IFACCA Simon Brault mengumumkan sidang kemuncak tersebut untuk kali kesembilan akan diadakan di Stockholm, Sweden, pada 2022. – Bernama

Tan Sri Norliza Rofli semasa menyampaikan ucapannya semasa WSAC ke-8, baru-baru ini. – Bernama