Wu Chun hulur sumbangan raya untuk pesakit

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Untuk memberikan kegembiraan dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri, selebriti terkenal tanah air, Wu Chun telah menghulurkan sumbangan kepada pesakit-pesakit daripada golongan yang kurang berkemampuan di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PJSC, seramai 18 orang yang telah dikenal pasti oleh pekerja sosial perubatan PJSC sebagai kurang berkemampuan, telah menerima sumbangan berupa hamper raya, penutup mulut dan hidung, pensanitasi tangan dan peralatan serta aksesori senaman termasuk tali skip dan alat timbangan digital.

Dalam mematuhi garis panduan penjarakan sosial oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh pandemik ini, para pesakit dijemput untuk menerima sumbangan menerusi pandu lalu di PJSC.

Hadir semasa penyampaian sumbangan itu ialah Wu Chun; Pengarah Perubatan PJSC, Dato Seri Laila Jasa Dr Babu Sukumaran; Bendahari Dana Sosial Perubatan (MSF), Bun Pei Ling; Konsultan Perubatan Rehabilitasi, Dr Abang Muhammad Fahmi bin Haji Hepnie dan kakitangan dari Fitness Zone dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan.

Wu Chun juga membawa dua orang anaknya dalam menggalakkan lebih ramai ibu bapa menanamkan semangat prihatin kepada orang lain terhadap anak-anak mereka.

Wu Chun dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada PJSC atas kerja keras dan aktiviti bermakna yang mereka lakukan untuk mewujudkan persekitaran lebih sihat di
Brunei.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa sebagai sebahagian daripada komitmen masyarakat mereka dan dengan sokongan Jerudong Park Medical Centre (JPMC),
mereka akan mengadakan kempen menderma darah pada 13 Jun ini di Kiulap.

Wu Chun dan anak-anaknya menyampaikan sumbangan kepada pesakit di PJSC secara pandu lalu. – Gambar serahan PJSC