Wuhan cetus harapan

WUHAN, 8 APRIL – Di sebalik topeng muka, keriangan dan kegembiraan ribuan penduduk Wuhan hari ini tidak dapat disembunyikan apabila mereka berpeluang keluar dari wilayah itu selepas 76 hari berdepan dengan larangan perjalanan di mana wabak COVID-19 kali pertama dikesan.

Kemenangan melawan virus itu jelas terlihat apabila ramai kini beratur ingin membuka pakaian hazmat masing-masing yang membuktikan bahawa virus ini tidak akan bertahan selamanya.

“Saya berasa sangat gembira dan bangun sekitar jam 4 pagi, anak-anak saya tidak sabar dan saya akhirnya dapat pulang bertemu dengan mereka semua,” kata ibu tunggal, Haoi Mei, 39, selepas hampir dua bulan tidak bertemu dengan anaknya.

Dalam masa yang sama, sebuah robot digerakkan di kawasan orang ramai di stesen sambil menyembur kaki mereka dengan cecair pembasmi kuman dan melaungkan mesej supaya setiap orang memakai topeng muka. Walaupun China meraikan hari pertamanya tanpa kematian akibat COVID-19 semalam, namun sebaliknya di Eropah dan AS mencatatkan jumlah yang teruk iaitu 1,939 kematian sejak 24 jam lalu, menurut Universiti Johs Hopkins.

COVID-19 ini turut menjangkiti Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sehingga perlu dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Paris mengetatkan perintah berkurung dan melarang penduduknya berjoging kerana hampir 10,000 kematian.

Malah, Trump akan menahan sementara dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berikutan mendakwa agensi antarabangsa itu berat sebelah terhadap China ketika pandemik COVID-19.

Ekonomi global terjejas dan memerlukan sokongan memandangkan kerajaan perlu memperuntukkan bajet keluar daripada krisis kesihatan ini. – AFP

Seorang petugas kesihatan dari wilayah Jilin menangis memeluk rakannya dari Wuhan ketika berpisah. Ribuan penduduk mengambil peluang keluar dari Wuhan selepas beberapa bulan tempoh berkurung dikenakan oleh pihak berkuasa. – AP