Wujud komuniti saling bekerjasama

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) menerusi Balai Polis Labi telah mengadakan majlis penyerahan sijil lantikan kepada enam orang ahli pengawasan kejiranan (PK) yang baharu dilantik bagi Mukim Sukang.

Majlis penyerahan berkenaan yang diadakan di balai itu dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, selaku pemangku penghulu Mukim Labi dan ketua Kampung Labi 1. Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Penguasa Polis Mohammed Azrie bin Haji Talip; Pemangku Penghulu Mukim Sukang, Haji Mohd Noh bin DMS Dian serta para pegawai, keanggotaan balai dan ahli PK baharu yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Labi, Haji Mohd Nazelley bin Haji Noorrashid. Acara seterusnya disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Mohd Nazmi bin Haji Ismail dan penyampaian sijil lantikan kepada ahli-ahli baharu PK Mukim Sukang.

Pelantikan ahli-ahli baharu tersebut diharap akan dapat memangkinkan hasrat negara bagi mewujudkan satu komuniti kampung yang saling bekerjasama dan bantu-membantu dalam memelihara kesejahteraan dan keamanan kampung setempat.

Yang Berhormat Awang Hanapi bergambar ramai bersama anggota PDB dan ahli PK yang baru dilantik.